Saturday 23 December 2017

CERPEN : JODOH SEMALAM



JODOH SEMALAM
Aisyah sinclaIR

“Saya janji akan tunggu awak habis belajar. Biarpun seribu tahun lamanya.”
Fikiran pemilik segulung ijazah sarjana muda dari Universiti Marmara, Turki melayang sejenak memikirkan janji manis kekasihnya sebelum dia berangkat ke bumi al-Fateh empat tahun lepas. Kini dia bakal pulang ke tanah tumpah darahnya dan bertemu si jantung hatinya.
Kakinya melangkah masuk ke Johor Premium Outlet(JPO) dan ketika langkah pertama itu dapat dirasakan satu aura yang berbeza. Matanya liar mencari sebuah butik kesukaannya. Setelah menjumpai butik tersebut dan mendapatkan barang yang dicari, Azwa berjalan sekitar kawasan JPO sebelum pulang ke rumah.
“Sayang, I nak beli handbag yang I cakap haritu. U janji nak belikan I kan…” rengekan seorang wanita 20-an yang menjadikan Azwa terpana.
Lelaki disamping wanita itu tersenyum nakal dan menurut segala permintaan wanita itu. Tidak semena-mena barang di tangan Azwa terjatuh dan terasa pipi gebunya panas. Sebutir demi sebutir mutiara jernih jatuh melalui pipi Azwa seiring dengan langkah pasangan tadi. Kini dia sedar aura apakah yang menyelubunginya ketika langkah pertamanya sebentar tadi.
“Saya janji akan tunggu awak habis belajar. Biarpun seribu tahun lamany.” Sebaris ayat yang diucapkan empat tahun lepas terngiang-ngiang di telinga Azwa. Hatinya bagaikan ditusuk berkali-kali kemudian hancur berkecai seperti kaca dihempas ke lantai. Sekembalinya Azwa di bumi bertuah Malaysia ini dia terpaksa menerima hakikat yang tidak pernah dia jangkakan. Kini impiannya musnah.
“Awak janji nak tunggu saya, awak janji akan setia dekat saya, awak janji tak akan berpaling dari saya. Tapi mana semua janji tu!” jerit hati seorang wanita yang merasa dirinya dikhianati oleh seorang insan bergelar lelaki.
 “Assalamualaikum! Ibu ayah, Wawa balik ni.” Sebaik saja tiba di rumahnya, Azwa memanggil ahli keluarganya dengan penuh semangat.
“Ya Allah Azwa! Kenapa balik tak bagitahu ibu ayah? Boleh kami jemput di airport.
Terpegun aku seketika melihat semua ahli keluarga yang berkumpul di hadapanku. Jelas sekali aku masih mempunyai harta yang paling berharga. Kekecewaan yang melanda hatiku sebentar tadi kini dihiasi pelangi indah yang tidak ternilai. Lamunannya terhenti apabila si cilik Afiq anak kepada kak longnya yang sudah mula bertatih mendapatkannya.
“Tidak sia-sia ibu masak lebih harini. Patutlah hati ibu ni rasa lain macam je, rupanya puteri bongsu ibu nak balik.”
“Kau nak tahu tak dik, ibu ni beria tanya angah bila kau balik sebab dia cakap dah cukup empat tahun kau berhijrah ke Turki tu”sampuk Aimi yang merupakan kak ngah kepada Azwa.
“Adik saja je nak buat kejutan untuk semua. Tadi dekat atas flight adik dah berangan nak makan asam pedas dan lemak cili api ibu.”
“Dik, kau tak bawa mat hidung mancung balik sini ke? Mana tahu akak dapat adik ipar ala-ala arab. Hahaha…”sakat kak long Azwa dengan tawanya yang masih tersisa. Celoteh tiga beradik ini tiada kesudahannya dan setiap usikan itu dihiasi dengan gelak tawa mereka. Situasi ini telah melenyapkan kesedihan dalam hati Azwa seketika. Nilai sebuah keluarga itu tiada bandingannya.
“Eh, kau balik ni Zahri tahu tak? Tiga hari lepas dia datang rumah melawat ibu dan ayah. Ada juga dia bertanyakan bila kau nak balik. Ibu tak jawab sebab kau pun tak reti nak bagitahu.”pertanyaan yang menerpa Azwa serta merta telah mematikan semua tawanya dan hatinya kembali mendung.
“Wawa tak sempatlah nak bagitahu Zahri bu, terlupa. Nanti Wawa bagitahu dia okey, tapi ibu jangan bagitahu dia dulu, Wawa nak buat kejutan.”jawab Azwa sambil mengukir senyuman tawarnya.
***
“Lama saya tak jumpa awak, rindulah. Empat tahun awak dekat Turki tu, skype pun sekali sekala je. Sibuk sangat katanya duduk negara orang.”serpa Zahri dengan nada merajuknya.
“Konon kau nak merajuk, sekali aku hantuk kepala kau dekat dinding baru kau tahu. Geramnya!”bisik hati Azwa menahan geram terhadap tunangnya yang main kayu tiga dibelakangnya.
Namun dia masih boleh bersabar dan hanya menunggu masa untuk memecahkan tembelang si buaya.
“Rindu ke? Alah kesiannya dia.”pujuk Azwa sambil mencubit paha Zahri sekuat hati dengan sengaja.
Kalau diikutkan hati mahu saja dia belasah buaya darat ini segera. Habis hatinya dirobek kini ada hati untuk merajuk. Kau tunggu nasib kau Zahri!
“Saya dah habis belajar ni, ibu dan ayah tanya bila nak bincang pasal tarikh perkahwinan kita. Nampaknya mereka dah tak sabar nak bermenantukan awak.” perli Azwa.
Sebaik sahaja soalan itu diajukan, muka tunangnya berubah menjadi pucat lesi. Azwa tahu puncanya dan hanya membiarkan muka itu pucat tanpa ubat.
***

Sepoi-sepoi semilir angin laut menerjah sopan wajah Azwa. Petang ini dia membuat keputusan untuk bersiar-siar di Danga Bay tanpa Zahri disisinya. Ahmad Zahri Bin Dato Rahim, satu nama yang pernah terpahat dihatinya suatu ketika dahulu. Namun kini Azwa ingin mengosongkan hatinya tanpa penghuni. Sekali lagi matanya terpana melihat dua susuk tubuh yang melekat bagaikan belangkas. Merekalah insan yang telah merobek hatinya, dia jugalah yang telah menabur janji-janji manis namun janji hanya tinggal janji. Tanpa kesabaran dihati, Azwa terus menerpa pasangan tersebut.
Pang! Satu tamparan yang cukup keras lalu diikuti dengan sepakan tepat di muka lelaki bernama Zahri itu.
“Amacam sedap tak dapat hadiah? Dah sedap kau bermesra kan, rasakan Zahri!”tempek Azwa sambil tangannya laju ingin menghinggap ke pipi lelaki itu namun dihalang wanita di sebelahnya.
Hey! Who’re you? How dare you slapped my boyfriend!”pintas wanita berambut perang itu.
Dengan pantas tamparan itu hinggap di pipi halusnya. Air di tangan Azwa juga dituang di atas rambut wanita itu.
Please shut your mouth before I slap you again or you want me to punch your face?”marah Azwa.
Mukanya yang putih kini menjadi merah dan raut wajahnya seperti harimau yang menunggu mangsanya.
 “Boyfriend kau? Dia ni tunang aku tahu tak!”balasnya lagi kerana masih tidak berpuas hati.
Keadaan tersebut disaksikan oleh beberapa orang yang melalui kawasan tersebut dan sepasang mata sedang memerhatikan Azwa tanpa disedarinya.
“Ahmad Zahri Bin Dato Rahim, kita putus dan jangan cari saya lagi!” bentak Azwa tanpa menghiraukan orang ramai yang memerhatikan tindakannya.
Zahri yang cuba mengejar Azwa dihalang oleh seorang lelaki berbadan tegap. Difikirannya kini hanya ingin mengejar tunangnya lalu memujuk gadis tersebut. Namun sudah terlambat.
***
Kejadian tempoh hari yang berlaku di Danga Bay sampai ke pengetahuan ayah Azwa iaitu Tengku Zalil melalui anak buahnya. Azwa sedikit gentar dengan ayahnya, namun dia sedar bukan salahnya peristiwa itu berlaku dan dia mempunyai bukti kecurangan Zahri si buaya darat.
“Tengku Azwa Hairina kenapa kamu menampar Zahri di khalayak ramai?” soal Tengku Zalil dengan nada marah kepada puteri bongsunya.
Kak ngah Azwa, Tengku Aimi hanya mampu mendiamkan diri kerana takut dengan ayahnya itu. Begitu juga ibunya, Puan Diana yang hanya mampu melihat raut wajah puteri bongsunya yang bersahaja. Azwa sememangnya seorangnya keras hati.
“Zahri curang dibelakang adik dan sudah dua kali adik menyaksikan kecurangan itu berlaku di hadapan mata adik. Maaf ayah, tapi adik dah tak mampu bersabar dan pertunangan kami perlu diputuskan segera.” Tegas Azwa kepada ayahnya.
“Kalau itu permintaan kamu, baiklah ayah turuti. Tapi, jodoh kamu selepas ini ayah dan ibu yang akan tentukan.” Jelas Tengku Zalil tanpa mendengar persetujuan anaknya dan terus melangkah keluar rumah.
Suasana di ruang tamu itu sepi tanpa suara setelah Tengku Zalil membuat keputusan. Masing-masing hanya bertatapan sesama sendiri. Terlihat jelas raut wajah Azwa yang terkejut dan sedih. Biarpun dia bersetuju dengan tindakan ayahnya, namun dia takut jika pasangannya itu seperti Zahri. Tanpa berlengah Azwa terus melangkah menuju ke biliknya tanpa menghiraukan ibu dan kakaknya. Kini hatinya hancur dan bagaimanakah masa depannya jika pasangan yang bakal dijodohkan itu sama seperti Zahri. Siapakah jejaka itu? Adakah dia mampu membahagiakan aku? Soalan yang bermain di fikiran Azwa membuatkan pipinya basah.
***
“Kau jahat! Kau janji akan jaga aku sampai bila-bila, tapi kau mengkhianati kepercayaan aku! Aku benci kau, aku benci kau Zahri! Kau tipu aku…” jeritan Azwa hanya bersaksikan lautan luas dan ombak yang memukul.
Namun, tanpa Azwa sedar terdapat sepasang mata yang memerhatikannya dari jauh. Ingin menyapa dan menenangkan gadis itu namun hatinya takut tak diterima.
“Wawa, kau okey tak ni?” tiba-tiba Halim datang menyapa Azwa.
Dia tahu mengenai kehancuran hubungan Azwa dan rakannya tempoh hari. Apabila mendapat panggilan dari Azwa memintanya datang ke suatu tempat, Halim tahu sebabnya.
“Lim, aku benci dia, aku benci dia Lim. Dulu aku terima dia seadanya, aku terima semua baik buruknya dia. Tapi kenapa dia buat aku macam ni wei. Apa salah aku, aku tak kuat Lim, aku dah sayang kat dia. Tapi dia…” luah Azwa bersama linangan air matanya.
Hatinya terlalu sakit dan empangan di matanya tak dapat dibendung lagi.
Halim hanya mampu mendiamkan diri. Dia tidak mampu berbuat apa-apa walaupun dia telah menasihati rakannya itu agar tidak mensia-siakan Azwa. Namun sikap angguh Zahri dan kemewahan yang dilimpahkan kepadanya menjadikan dia buta  akan kesetiaan dan kebaikan Azwa. Tambahan pula mereka berjauhan.
“Wa, kau lepaskan lah Zahri tu. Dia tak layak untuk kau Wa. Dia berubah sekejap je Wa, lepas beberapa tahun sikap playboy dia datang balik. Kau sabar ye, aku yakin kau akan jumpa yang lebih baik dan layak untuk diri kau.” Balas Halim tenang.
Namun tangisan gadis di hadapannya itu masih tidak reda. Mungkin terlalu sakit kerana dikhianati.
Halim membuat keputusan untuk berjumpa dengan Zahri, niatnya untuk menyedarkan rakannya itu. Harapannya agar dapat menyatukan Zahri dan Azwa kembali. Segera dia mendail number Zahri kerana dikhuatiri rakannya itu sibuk.
Kini hari yang mendebarkan tiba, tanpa sebarang perbincangan dan pertemuan Azwa bakal menjadi isteri kepada seorang insan yang tidak dikenalinya. Semua persiapan telah diuruskan oleh kedua-dua belah pihak. Hanya sebulan pertunangan dan Azwa mengambil keputusan untuk tidak berjumpa dengan pasanganya itu. Biarlah nasibnya ditentukan oleh yang maha Esa.
“Dik, takut tak? Alah kau tak payah risau, bakal suami kau tu hensem, berkerjaya dan yang paling penting solatnya terjaga. In Shaa Allah dia boleh jaga kau. Ayah, ibu dan kakak  yakin.” Kata-kata Aimi dibiarkan tanpa jawapan. Kini Azwa hanya mampu berserah dan berdoa.
Hanya dengan sekali lafaz Khairil Luthfi sah bergelar suami kepada Tengku Azwa Khairina. Ketika akad nikah dilafazkan berderai mutiara jernih di muka Azwa kerana lelaki tersebut merupakan insan yang pernah dicintainya. Kini Azwa tahu mengapakah ayahnya menyatukannya dengan Khairil. Doktor yang dulu angkuh dan tidak hiraukannya kini telah bergelar suaminya dan insan ini jugalah yang bakal merubat hatinya yang luka.
“Terima kasih kerana sudi terima saya walaupun dulu saya tidah balas cinta awak. Saya nak capaikan cita-cita dahulu sebelum dapat memiliki awak. Saya berjanji kejadian yang berlaku di Danga Bay dahulu tidak akan berulang kepada kita dan saya tak akan biarkan air mata awak yang berharga ini menitis lagi. Kini hanya awak dan saya sahaja.” ucap Khairil kepada isteri tercintanya ketika menyarungkan cincin di jari manis Azwa.
“Macam mana dia boleh tahu kejadian tu. Mungkinkah bayangan yang aku nampak tu betul dia.” Persoalan demi persoalan bermain di minda Azwa.
Namun semuanya dibiarkan tanpa jawapan. Jelas diwajah pasangan ini bahawa mereka sangatlah bahagia. Jodoh semalam yang diberikan Allah kini menjadi sejarah dalam lembaran hidup Azwa. Kini Khairil Luthfi merupakan jodoh baru buatnya dan janji Allah itu pasti.
“Darjat bukan ukuran kebahagiaan buat puteri ayah, senyuman kebahagiaan kamu lebih berharga daripada itu. Ayah dan ibu sentiasa ada buat kamu, kamu puteri kami dunia akhirat Azwa.” Bisikan Tengku Zalil kepada puteri bongsunya bersama deraian air mata.
Keluarganya sedar pangkat dan harta tidak akan menjamin kebahagiaan hidup. Biarlah miskin dengan harta, asalkan jiwa tidak kosong dengan kasih sayang.
Kini Azwa mampu tersenyum bersama seorang lelaki yang pernah dicintainya. Mungkin dahulu dia tidak dipandang oleh Khairil Luthfi dan hatinya pernah dihancurkan oleh insan lain. Namun Allah swt telah menjanjikan kebahagiaan buat hamba-Nya yang sentiasa sabar.
Mendung di siang hari tidak akan menjamin hujan bakal turun, tetapi didatangkan guruh yang menyambung dan panahan kilat. Panahan tersebut telah melukakan hatinya, namun siapa sangka kelukaannya telah diubati dengan kehadiran pelangi petang yang sangat indah. Pelangi inilah yang akan membahagiakan setiap detik hidup Azwa. Berbekalkan kesabaran di dada, kini dia memiliki kebahagiaan yang diimpikannya.
*TAMAT*


No comments:

Post a Comment